Monday 13 June 2011

BIODATA DAYANG HAJAH SITI ZAUYAH BINTI AWANG PUKOL

(Dibacakan oleh : Wawa Hj Emran bin Hj Zainal)

BISMILAHHIRAHMANIRAHIM

Hasil perkongsian hidup antara Awang Pukol bin Laut dan Dayang Hajah Zainaf binti Ahmat pada tanggal 15hb Mei 1936 jam 5.30pagi, maka lahirlah seorang anak damit perempuan di Kampong Sungai Damong, Muara yang terletak di kawasan Daerah Brunei dan Muara.

Bapanya bekerja di P.W.D, Muara sementara ibunya adalah suri rumahtangga. Semasa kecilnya beliau telah diasuh dan dibesarkan oleh abang kandungnya (*urutan keluarga : sebapa berlainan ibu) iaitu Allahyarham Awang Md Hassan bin Awang Pukol. Abang beliau ini sangat sayang kepada beliau. Bersekolah sehingga Darjah 4 iaitu dalam sekitar bulan Februari 1951. Pada 20hb Zulhijah 1373 bersamaan dengan 24hb Ogos 1954 beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan pemuda yang kacak iaitu Awang Zainal bin Omar dengan Mas Kahwin $100.00. Jurunikah yang telah menikahkan mereka ialah Pehin Tuan Imam Sa’at dan berwalikan abang beliau Allahyarham Awang Md Hassan bin Awang Pukol. Suami beliau berasal dari Kampong Tamoi Tengah, lahir pada tahun 1932.

Suami beliau berakhlak baik, berperwatakan pendiam dan tidak suka akan kejahatan. Bekerja sebagai Tukang Kebun sebelum bekerja dengan Jabatan Kerja Raya sebagai Tukang Kayu bergaji hari. Berkat kesabaran, patuh dan taat, maka suami beliau telah dinaikkan ke pangkat bergaji bulan secara Open Vote dengan gaji sebanyak $300.00 sebulan dan atas usaha yang gigih, suami beliau juga telah naikkan pangkat ke Division IV pada 1hb Februari 1980 dengan gaji sebanyak $625.00 sebulan.

Hasil dari perkongsian hidup beliau suami-isteri, alhamdulillah mereka telah dikurniakan anak iaitu 4 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Anak pertama lahir pada 6hb Ogos 1955 manakala anak bungsu lahir pada 25hb April 1964. Beliau dan suami telah bersusah payah hidup dan membesarkan anak seramai 7 orang dengan pendapatan yang sederhana. Beliau juga telah memainkan peranan dengan mengasuh anak iaitu Haji Ibrahim bin Awang Md Hassan disamping menimbal perbelanjaan harian dengan menjual sedikit kuih-muih yang dibuat sendiri.

Bertitik-tolak dari sini beliau juga berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan akhirnya beliau telah mendapat pekerjaan sebagai Tukang Masak di Maktab Sain Paduka Seri Begawan Sultan dengan gaji sebanyak $200.00 sebulan. Dengan pendapatan yang sederhana itu, alhamdulillah semua anak-anak beliau dapat bersekolah sehingga ke Sekolah Menengah dan diantaranya berjaya meraih IJAZAH di Universiti dalam dan luar negeri. Tidak setakat dapat menyekolahkan anak-anak sahaja malahan dapat menyempurnakan majlis perkahwinan kesemua tujuh anak beilau.

Lebih dari itu, alhamdulillah beliau juga telah menunaikan Fardhu Haji ke Mekah sebanyak tiga kali dan menunaikan Ibadah Umrah beberapa kali. Kali pertama beliau menunaikan Fardhu Haji ialah pada Musim Haji Tahun 1987/1407 bersama-sama dengan suami dan anak sulung beliau Awang Haji Emran bersama isteri Dk Hjh Rosnani serta keluarga dari sebelah pihak isteri. Pada 15hb Mei 1991 beliau telah bersara dari berkhidmat dengan Kerjaaan KDYMM, dimana beliau telah mencurahkan bakti perkhidmatan selama 20 tahun. Hasil ‘aing tangan’ beliau turut dirasakan oleh seorang anak menantu beliau iaitu Awang Haji Ismail bin Mohamad yang pada masa itu masih menuntut dan bertugas di Maktab Sain Paduka Seri Begawan Sultan. Dalam tempoh perkhidmatan itu, beliau adalah seorang yang aktif dalam menghadirkan diri keacara-acara atau majlis-majlis rasmi yang diadakan di Maktab berkenaan. Beliau adalah seorang pekerja yang rajin. Semasa dalam perkhidmatan, beliau juga telah diberi kesempatan untuk mengikuti pelbagai kursus.

Suasana sedih menyelubungi beliau dan ahli keluarga dimana suami beliau telah dijemput oleh Allah Subahanahu Wataala pada hari Rabu malam Khamis bertarikh 29hb Januari 1992 jam 9.50 malam kerana menghidap penyakit Darah Tinggi. Sama-samalah kita berdoa semoga Roh Allahyarham Awang Haji Zainal bin Omar bin Tengah dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan sahabat-sahabat Nabi S.A.W…… AL FATIHAH.

Hari demi hari berlalu beliau hidup sebagai seorang balu, namun beliau tidak pernah duduk diam. Beliau sangat rajin menuntut ilmu agama, rajin pergi ke Masjid menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Kg Pulaie, belajar membaca Al-Quran di rumah dan di Sekolah Ugama Serusop, berpuasa wajib, bertadarus, sembahyang Tarawikh pada setiap tahun tidak pernah ditinggalkan walaupun beliau kurang sihat, rajin mengamalkan sembahyang sunat, puasa sunat, bersedekah kuih-muih, rajin menghadirkan diri ke majlis-majlis seperti perkahwinan, menerima berian, berbedak, doa-doa selamat/awrah dan sebagainya. Dari itu marilah kita sama-sama berdoa semoga amal ibadah beliau di terima oleh Allah SWT jua… Amin. Pada hari ini 15 Mei 2011 beliau kini telah berusia 75 tahun.

Beliau ialah ibu, ibu mertua, nenek, datuk kami iaitu DAYANG HAJAH SITI ZAUYAH BINTI AWANG PUKOL. SELAMAT HARI ULANG TAHUN KE 75 TAHUN. SEMOGA DIPANJANGKAN UMUR, DIMURAHKAN REZIKI DAN DIBERI KESIHATAN YANG BERPANJANGAN……………………… AMIN YA RABBALAMIN.

1 comment:

  1. Alhamdulillah, semoga dengan adanya warkah bisu ini maka semua keluarga Haji Zainal bin Omar akan mengetahui perjalanan yang telah dilalui oleh perindungan kitani sebelum ani. Semoga keluarga Haji Zainal akan sentiasa bersatu dan mengeratkan tali persaudaraan dimasa-masa akan datang. Mungkin warkah bisu ani akan menjadi ristaan untuk keluarga kitani nanti.

    ReplyDelete