Apabila tiba waktu berbuka puasa atau bersungkai sudah setentunya menimbulkan rasa kegembiraan kepada orang yang berpuasa kerana sudah sampai masanya untuk melepaskan diri daripada rasa dahaga dan lapar. Namun yang penting, selain bersungkai itu sebagai menghilangkan rasa kehausan dan lapar di siang hari, bersungkai itu juga akan menimbulkan rasa kegembiraan di atas ibadat puasa yang telah sempurna dikerjakan. Perasaan kegembiraan ketika bersungkai ini ada disebutkan dalam sebuah hadis Qudsi:
Maksudnya: “Orang yang berpuasa memperolehi dua kegembiraan yang dia merasa girang dengan keduanya: apabila bersungkai dia bergembira, dan apabila menghadap Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Manusia (umat Islam) akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan sungkai.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sunat memulakan sungkai dengan memakan buah ruthab iaitu kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar dan rasanya lunak manis. Sekiranya tidak ada buah ruthab, mulakanlah sungkai dengan buah tamar iaitu kurma yang telah kering. Adalah lebih sempurna jika buah tamar itu dimakan sebanyak tiga biji. Dan sekiranya tidak ada buah tamar, mulakanlah sungkai dengan meminum beberapa teguk air.
Urutan memulakan sungkai dengan buah ruthab, kemudian buah tamar, dan seterusnya air ini adalah merupakan sunnah Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersungkai dengan beberapa biji ruthab sebelum menunaikan sembahyang (fardhu Maghrib), sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada, maka baginda minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bersungkailah dengan cara yang sederhana dan mengikut kadar yang tidak berlebihan sehingga perut merasa sangat kenyang. Ini adalah kerana tujuan berpuasa itu adalah untuk mengurangkan kadar pemakanan. Namun makan dengan berlebihan juga, sekalipun dari makanan yang halal, boleh memudharatkan manusia. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Bekas yang paling buruk diisi oleh manusia ialah perut. Adalah mencukupi bagi manusia itu beberapa suap yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Sekiranya tidak pasti, maka (peruntukkanlah bagi perut) satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Kita perlu mengetahui bahawa maksud berpuasa adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang selera nafsu di siang hari hingga ke masa bersungkai, lalu membiarkan nafsu syahwat melonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sememangnya nafsu dengan sifat semula jadinya tentulah akan bertambah-tambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Sedangkan ruh puasa dan rahsianya itu ialah melemahkan kekuatan nafsu yang merupakan jalan bagi syaitan untuk menghasut kita kepada melakukan kejahatan. Maka yang demikian ini tidak akan tercapai melainkan dengan bersederhana.
Oleh itu, hendaklah makan malam sebagaimana biasanya ketika tidak berpuasa, kerana jika mengumpul makanan siang ke waktu malam ketika bersungkai (seolah-olah makan dua kali ganda kerana membalas kelaparan di siang hari), maka tidaklah berkesan puasanya.
--------------------------------------------------------------
Selamat menyambut Bulan Ramadhan yang penuh bermakna dan mempunyai banyak kelebihan daripada bulan-bulan yang lain. Kami sekeluarga mendoakan semoga puasa dan amal kitani akan diterima oleh Allah s.w.t jua... Amin.
Ikhlas Daripada :
L/Cpl 4461 Haji Md Ismani & Mohaizah
Pekilong Anggerek Jr
No comments:
Post a Comment